Blog

Manual Pengajian Tahfiz Akademi Darul-Huffaz.

Tahfiz Belajar Al Quran Mengaji Seronok
Tahfiz

Manual Pengajian Tahfiz Akademi Darul-Huffaz.

Pengenalan Manual Kaedah Pengajian Tahfiz di Akademi Darul-Huffaz.

Saya amat menggalakkan supaya pelajar-pelajar mendampingi Kitab Terjemah Al-Quran Perkata, Terjemah Ayat dan Tafsir, Kitab Tafsir pula pilihan utama saya ialah Kitab Klasik Tafsir Jalalain, saya amat sukakannya sehingga kini tetap pilihan utama saya kerana keajaiban pengarangnya yang kembar nama dan gayanya yang sederhana tidak terlampau ringkas & tidak terlampau panjang.

Ustaz Lokman Shazly Bin Zaharin

BUKU TAHFIZ
Buku apa yang dipelajari oleh anak-anak dalam jurusan tahfiz ini hari-hari?
Dalam pengajian Tahfiz ini amat berbeza dengan pengajian akademik maupun pengajian subjek-subjek agama yang biasa dipelajari di sekolah agama. Dalam pengajian Tahfiz, buku yang sama akan digunakan dari awal hingga tamat bertahun-tahun lamanya hingga bawa ke mati iaitu Al-Quran, buku yang sama tapi tak pernah jemu! Ia adalah sebuah pengajian yang tinggi seninya, pengajian yang mensyaratkan kesucian sentiasa dengan arahan Ilahi, ‘Jangan sentuhnya melainkan mereka yang suci/berwudhu’, anak-anak sentiasa dalam keadaan berwudhu’, memastikan peradaban yang kaya, budi pekerti yang mulia, penghormatan yang tinggi kepada guru, penjagaan mata & mulut setiap masa. Anak-anak yang terisi dalam dada mereka juzu’-juzu’ Al-Quran tak mungkin menjadi bangsa perosak, mayat bernyawa, mat rempit, kaki perempuan & kaki arak. Suatu masa ketika mereka kecil, mereka menjaga Quran, selagi mereka menjaganya maka Quran yang sama akan menjaga mereka ketika mereka besar.

KITAB SAMPINGAN TAHFIZ
Saya amat menggalakkan supaya pelajar-pelajar mendampingi Kitab Terjemah Al-Quran Perkata, Terjemah Ayat dan Tafsir, Kitab Tafsir pula pilihan utama saya ialah Kitab Klasik Tafsir Jalalain, saya amat sukakannya sehingga kini tetap pilihan utama saya kerana keajaiban pengarangnya yang kembar nama dan gayanya yang sederhana tidak terlampau ringkas & tidak terlampau panjang. Kini macam -macam jenis Quran Terjemah boleh di dapati di pasaran Al-Quran yang dilengkapi dengan Terjemah & Tafsir di lembaran yang sama. Amat menyenangkan! Tak sama ketika saya menghafaz dulu, dari Malaysia saya bawa berjilid-jilid buku terjemah dan tafsir serta kamus kerana ketika itu tidak ada kitab Quran 3 in 1 seperti sekarang…malah 7 in 1 pun ada!.

SUBJEK TAHFIZ
Sepanjang hari belajar, masa untuk akademik hanyalah 2.5jam, yang bakinya diperuntukkan untuk pengajian tahfiz. Dalam kelas tahfiz, dibahagikan kepada beberapa subjek dengan nama yang saya berikan seperti berikut;

1.1) ‘TALAQI’: ialah pelajaran memperbetulkan bacaan bertajwid pada jumlah bacaan yang akan dihafal pada hari tersebut.

1.2) KAEDAH TALAQI: Ia diperdengarkan pada satu waktu yang ditentukan guru sebelum mula menghafal. Sama ada guru akan memperdengarkan bacaan sambil diperhati oleh murid kemudian murid pula akan perdengarkan kepada gurunya atau gurunya terus sahaja mendengar bacaan muridnya dan dimana salah akan ditegur.Akan terjadi suatu tahap yang mana guru tidak akan lagi bertalaqi dengan pelajar sekiranya guru tersebut sudah berpuas hati dengan pencapaian yang sedia ada pada muridnya itu. Maka sebarang tindakan pembetulan akan dipindahkan ketika pelajar mentasmi’ sabaqnya dihadapan gurunya.

2.1) ‘SABAQ’ ialah pelajaran hafazan terbaru hari tersebut.

2.2) KAEDAH SABAQ: Ia bergantung kepada kemampuan dan kesesuaian pelajar untuk berapa banyak baris dia boleh menghafal dalam tempoh yang dibenarkan. Tempoh yang disarankan untuk menghafal sabaq baru ialah hanya 45minit hingga sejam. Ada pelajar yang tamak, mereka mahu menghafal sebanyak mungkin dalam satu hari atau mereka mensasarkan contohnya satu mukasurat tetapi masa yang diperlukan sampai 2 jam, sebenarnya mereka telah menyalahgunakan pembahagian masa walaupun mereka dapat hafal banyak.
Dengan menghafal banyak pada masa yang berlebihan akan mengakibatkan hafalan menjadi lemah kerana tempoh mengulang sudah amat terhad. Kaedah yang baik ialah setelah 45minit menghafal dan telah disemak & diluluskan oleh guru, pelajar tersebut mesti mengulangi hafalannya sehingga 40kali atau kalau boleh 60kali atau 100kali sebelum memulakan sabqi. Berapa lama pula masa diperlukan untuk mengulangi sabaq 40x, 60x & 100x? Bagaimana mengulanginya,duduk/berjalan/solat/baring sehingga terlelap & termimpi?
Setelah menghafal dan sudah berupaya memperdengarkan tanpa melihat, pelajar akan perdengarkan kepada rakan disebelah sambil diperiksa oleh rakan tersebut kemudian pelajar itu akan melangkah menuju kepada gurunya untuk diperdengarkan kepadanya sehinggalah hafalannya diperakui, jika tidak, dia perlu memantapkan lagi hafalan sehingga guru betul-betul berpuas hati. Hafalan mesti dihafal sendiri, tiada siapa orang lain yang boleh tolong hafal untuknya melainkan dia sendiri yang hafal sehingga ingat, jadi amat jelas kalau pelajar itu malas/kantoi maka dia tak dapat perdengarkan sabaqnya. Sebab itu waktu sabaq, ramai pelajar yang suka melambat-lambat kerana usaha menghafal mereka masih belum cukup, yang kantoi pula akan beri alasan sakit, demam, sakit kepala dsb. Pelajar yang berjaya adalah pelajar yang konstan/tetap & mantap, tepat pada masa sabaq dikehendaki, pasti mereka akan kehadapan untuk perdengarkan.

3) ‘SABQI’ ialah pelajaran hafazan-hafazan yang terkini yang baru sahaja dihafal dalam tempoh 2 minggu hingga sebulan terakhir bergantung kepada jumlah hafazan yang dihasilkan setiap hari. Lazimnya sabqi diperdengarkan sebanyak 10-20 mukasurat setiap hari. Ia juga bergantung kepada jumlah hafazan yang sudah dikuasai. Kalau bawah 2 juzu’ maka setengah juzuk atau 10 mukasurat terbarulah sabqi, yang selebihnya manzil. Kalau sudah melebihi 2 juzu’, maka amat ditekankan sabqi sepatutnya dibaca 3/4juz -15mukasurat terakhir atau 1juzu’-20mukasurat terakhir dan yang selebihnya manzil. Sabqi boleh didengari terus oleh guru atau guru mengarahkan rakan untuk menyemak setiap hari.

4) ‘MANZIL’ adalah subjek bacaan selebihnya daripada sabqi. ‘Manzil’ sendiri terbahagi kepada dua;

a) Manzil tasmi’ – Manzil tasmi’ adalah manzil rasmi yang diperdengarkan dalam kelas kepada guru atau kepada rakan yang dipilih guru untuk menyemak. Jumlahnya bergantung kepada jumlah hafazan serendah 10 mukasurat sehingga sebanyak 2 juzu’. Dan bacaan setiap hari adalah mengikut susunan sehingga melalui semua juzu’-juzu’ hafazan dengan teratur.
b) Manzil infiradi – Manakala manzil sendiri adalah bacaan juzu” sendiri sama ada dalam kelas atau di luar ketika rehat.

Ketika saya menghafaz Quran dulu, amalan harian saya mencecah 15-20 juzu’ jumlah bacaan, begitu juga saya inginkan anak murid – anak murid saya mencapai jumlah bacaan harian mereka sedemikian.

5) ‘MUTHOLA’AH’ [Perkara kelima ini sebenarnya terletak sebelum perkara (1) tetapi bukan diamalkan di dalam kelas tetapi pengamatannya di luar kelas ketika rehat, ini adalah kerana masa kelas adalah amat terhad lagipun ia hanya tambahan.]
Setiap hari untuk sabaq baru yang saya akan hafal, terlebih dahulu di waktu rehat saya akan melihat kitab terjemah ‘perkata’ kemudian diiringi dengan kitab terjemah ‘ayat’ kemudian kitab ‘tafsir’, sehinggalah saya menguasai makna & maksudnya, kemudian ketika kelas bermula, saya mula menghafaz, mengulang-mengulang ayat yang hendak dihafal dengan menyegarkan kembali memori terjemahan sehingga saya membaca dengan penuh erti sambil menghayati makna-maknanya

(to be continued)
PARA SABAQ
KITABAH
FOTOGRAFIK MEMORI & AUDIO MEMORI
RENTAK BACAAN
JUMLAH ULANGAN QURAN YANG DIPERLUKAN SEORANG HAFIZ
TEORI ALFATIHAH
KETEGASAN GURU & KERJASAMA IBUBAPA DALAM PERKARA INI
SIKAP & PERADABAN KETIKA DI DALAM KELAS TAHFIZ
ROTAN & PENGGUNAANNYA
JOURNAL TAHFIZ
KAEDAH ISYARAT DI DALAM KELAS TAHFIZ

Leave your thought here

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Open chat
Chat With Us!
Salam Sejahtera, boleh kami bantu anda?